Semangat Nusantara wajar diperkasa.

Pertama-tamanya saya ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sekretariat Transformasi Serantau,
Malaysia dibawah Jabatan Perdana Menteri yang telah membuka peluang kepada saya
bersama 19 mahasiswa lain yang dipilih dari seluruh Malaysia untuk menghadiri
Nusantara Leadership Camp 2013 anjuran kerjasama bersama Universitas Indonesia
Jakarta, Indonesia bermula 4 Setember sehingga 8 September 2013.
Selaku salah seorang wakil
peserta saya berasa sangat berbesar hati kerana telah berjaya dipilih hasil
temuduga dan pemilihan yang ketat untuk menjadi antara 20 mahasiswa terbaik
dari Malaysia bagi bersaing dengan 100 mahasiswa terbaik dari seluruh Indonesia
yang menwakili setiap provisi atau daerah di sana.

Disaat suasana tegang antara
Malaysia dan Indonesia, peluang sebegini sebenarnya telah berjaya menjadi
medium yang effektif bagi mewujudkan lagi tali silaturrahim yang baik antara
dua negara. Menurut Encik Pipin Sopian, penasihat Nusantara Leadership Camp,
“Perkara
yang boleh menyatukan anak-anak kecil di Nusantara ialah Upin Ipin, manakala
golongan yang tua lebih tertumpu kepada nostalgia persaudaraan antara dua buah
negara. Tetapi yang merisaukan sekarang ialah golongan muda Nusantara dimana
mereka hidup saling mencuriga kerana tiada hubungan dan pengalaman yang bisa
dikongsikan bersama. Justeru itu, Kem ini lebih menfokuskan untuk mencapai misi
agar golongan muda antara dua buah negara bisa bersatu dan menjamin kekuatan
perpaduan Nusantara di masa hadapan.”
Kita mungkin terpisah oleh
batasan Negara tetapi sedar tidak sedar Malaysia dan Indonesia masih
bersaudara. Dimana kita hanya mempunyai sedikit perbezaan tetapi sejuta
persamaan yang boleh membawa kepada kekuatan serantau. Menurut Professor Wan
Mohd Nor Wan Daud, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam dan Peradaban (CASIS)
ketika forum “Refleksi Sejarah dan Kepimpinan Nusantara” menyatakan,
“Nusantara
sepatutnya lebih mudah untuk bersatu kerana kita berkongsi Agama yang sama,
Bahasa yang sama dan juga Budaya yang sama. Malangnya kita lebih banyak mencari
perbezaan berbanding bangsa Eropah yang masih kekal bersatu walaupun mempunyai
sedikit persamaan jika dibandingkan dengan kita.”
Sesungguhnya pengalaman saya
bersama rakan-rakan sepejuangan dari Malaysia selama 5 hari ini sungguh tidak
ternilai kerana kami mendapati begitu banyak pendedahan persamaan antara kita
yang boleh membuatkan Nusantara berdiri lebih utuh berbanding penyatuan yang
lain. Selain daripada itu juga pendedahan tentang keadaan Indonesia juga
mengajar kami sedikit sebanyak tentang keadaan semasa di negara kita.

Semangat Nasionalisme yang
tinggi.
Perkara pertama yang saya
pasti Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia ialah dimana semangat
Nasionalisme kita? Walaupun Indonesia dipenuhi dengan pelbagai bangsa dan agama
tetapi semangat kenegaraan dan kemerdekaan mereka sangat tinggi. Petanda
positif ini dapat dilihat dengan jelas ketika mereka bersungguh-sungguh
menyanyikan lagu kebangsaan mereka “Indonesia Raya”. Berbanding negara kita
yang masih mempertikaikan tentang kehormatan lagu “Negaraku”.
Semangat toleransi mereka juga
terlihat apabila mereka juga menghormati lagu “Negaraku” dan tidak berasa kekok
untuk bersama-sama mempelajarinya. Walaupun berbeza negara tetapi mereka tetap
menghormati Malaysia. Sudah pasti ini mampu menjadi nilai tambah kepada
perpaduan kita bersama terutamanya generasi muda.
Rasuah atau Korupsi
Antara perkara paling hangat
yang diketengahkan sepanjang kelangsungan kem ini ialah isu rasuah ataupun
korupsi. Menurut Dr Arif Munandar, Penceramah bagi slot Pemimpin Muda Nusantara
Leadership Camp menyatakan
“Masalah
korupsi ini tidak akan pernah terpulih kerana tauladan yang dibawa oleh
generasi tua telah diikuti oleh pemimpin muda. Seharusnya pemimpin muda perlu
berani untuk berubah dan lebih mengetengahkan kejujuran dalam kepimpinan
berbanding mengunakan kuasa dan pangkat untuk kepentingan diri lalu
mengetepikan kebajikan masyarakat.
Malangnya,
semangat pemimpin muda yang dahulunya semasa dibangku universiti sanggup
berdemo dan melaungkan kebajikan rakyat tanpa korupsi tersungkur apabila mereka
telah berjaya memegang tampuk pemerintahan. Seharusnya pemimpin muda sedar yang
cabaran sebenar ialah setelah keluar daripada universiti dimana peluang untuk
melakukan korupsi lebih terbuka luas sehingga menghayutkan kita kearah korupsi
yang merugikan negara.”
Jadi kunci untuk menyelesaikan
masalah korupsi ini bukannya dengan menyalahkan pemimpin yang sedia ada tetapi
lebih kepada pedoman diri untuk menjadi pemimpin yang jujur dan bervisi tanpa
korupsi dimasa hadapan. Perkara ini mungkin tidak terlihat kini oleh pemimpin
muda kerana selaku mahasiswa kita masih belum merasai cabaran yang sebenar di dalam
dunia politik. Jadi mudahlah bagi kita untuk mempertikaikan dengan kata-kata.
Semangat Menuntut Ilmu
Semangat untuk menuntut ilmu
dalam kalangan mahasiswa Indonesia juga dilihat sangat tinggi sehingga
mengerunkan kami mahasiswa di Malaysia. Mungkin kerana keadaan negara mereka
yang serba kekurangan menyebabkan mereka begitu bersungguh-sungguh dalam
mencari peluang bagi meraihkan sekelumit ilmu.
Ini terbukti apabila tiba
sahaja sessi soal jawab mereka pasti akan berebut-rebut mengangkat tangga untuk
bertanyakan soalan kepada penceramah. Berbeza sekali keadaan ini dengan Mahasiswa
di Malaysia dimana kita berasa terlalu selesa sehingga segalanya perlu disuap
dan malu untuk bertanya bagi menambahkan ilmu di dada.

Peluang untuk menuntut Ilmu
Saya sempat berkongsi cerita
dengan seorang teman dari Kalimantan Indonesia dimana dia dalam usaha untuk
mendapatkan biasiswa bagi menyambung pelajarannya di universiti. Melalui
perkongsian itu dia sempat bertanyakan kepada saya jika ada mana-mana peluang
dari Malaysia untuk dia menyambung pelajaran kerana tanpa biasiswa dia mungkin
tidak mampu menyambungkan pelajaran dan terpaksa bekerja sebagai petani dahulu
bagi menampung kos pembelajarannya.
Sedih jika dikenangkan
keadaannya kerana walaupun dia merupakan antara mahasiswa terbaik di Kalimantan
tetapi peluangnya untuk terus berjaya mungkin akan ditutup jika tiada bantuan
kewangan diberikan. Saya sempat menceritakan mengenai sistem pembelajaran
Malaysia yang menawarkan pinjaman PTPTN. Dia sungguh tertarik dengan sistem
berkenaan dan mula menanyakan bagaimana caranya peminjam ingin memulangkan
semula duit pinjaman?
Saya mula tidak keruan dan
menyatakan itulah masalah yang sedang dihadapi oleh Malaysia sekarang. Dia
tanpa berselindung mula kecewa dan menyatakan jika dia memiliki peluang
berkenaan pasti dia tidak akan mensia-siakan kerana pinjaman untuk menyambung
pembelajaran pun sudah memadai baginya bagi membantu keluarganya dimasa
hadapan.
Mungkin bagi mereka yang tidak
merasai kemudahan ini lebih mengerti betapa berharganya sistem PTPTN dalam
menjamin kelangsungan kewangan pendidikan negara kepada kalangan mahasiswa yang
tidak berkemampuan.

Tali silaturrahim yang tidak
ternilai
Bak kata pepatah, air yang
dicincang tidak akan putus. Itulah ibaratnya tali persaudaraan Nusantara antara
Malaysia dan Indonesia. Kalau diikutkan sejarah, Nusantara merupakan satu
serantau bangsa Melayu yang kuat dimana menjadi tumpuan dunia dalam perdagangan
dan sumber alam yang tidak ternilai. Walaupun kita terpisah oleh batasan negara
tetapi ia tidak bermakna persaudaraan antara kita perlu terhapus atau terputus
begitu sahaja.
Pada awalnya ada segelintir
mahasiswa Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kehadiran kami dari Malaysia
dek kerana terpengaruh dengan arus media yang memburuk-burukkan Malaysia di
sana. Namun begitu, tak kenal maka tidak cinta. Setelah tali silaturrahim
dipupuk hasil perkongsian pengalaman yang tidak terhingga ini. Segala Isu
antara negara yang memupuk kebencian terhapus begitu sahaja. Daripada Isu Orang
gaji didera, tarian Pendet sehinggalah ke kes Monahara semuanya telah dibincang
dengan toleransi dan mencapai kata sepakat yang segala permasalahan itu
hanyalah picisan jika dibandingkan dengan kebaikan yang mampu diperoleh melalui
penyatuan bersama.
Mahasiswa Malaysia dan
Indonesia semasa kem ini berjaya bersatu dan membentuk satu semangat Nusantara
yang unggul. Jika semangat ini diteruskan nescaya Nusantara mampu mengegarkan
dunia sebagai bangsa yang terunggul dan disegani.
Lebih Prihatin
Pernahkah anda bayangkan jika
kita duduk disebuah rumah yang mewah dan selesa, lengkap dengan segalanya.
Tetapi jiran yang juga saudara kepada kita, duduk dalam keadaan daif dan sangat
memerlukan bantuan untuk kelangsungan kehidupan. Adakah kita hanya mampu
melihat tanpa menghulurkan sebarang bantuan?
Itulah salah satu objektif
utama kem ini diwujudkan, iaitu untuk menguatkan persaudaraan antara kita dan
lebih mengetengahkan keprihatinan untuk membantu antara satu sama yang lain
melalui projek sosial yang diterapkan. Kami diminta menyediakan proposal projek
sosial yang mampu membantu masyarakat yang memerlukan tidak kira dari mana kita
berasal.
Projek sosial ini sudah pasti
membuka peluang yang lebih besar kepada belia di Malaysia untuk menjadi lebih
prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita dari Indonesia.
Sekaligus, ini membantu masyarakat mereka untuk membangun bersama-sama agar
Nusantara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan serantau yang
lain. Sesungguhnya amalan mulia ini bukan hanya menguntungkan kita malah
menguntungkan Nusantara secara kolektif. Bak kata pepatah bersatu kita teguh
bercerai kita roboh.

Konkulsi
Tuntasnya, Malaysia dan
Indonesia telah ditakdirkan untuk saling bergantungan. Secara kasarnya kita
dapat melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kualiti dan
teknologi manakala Indonesia memiliki kuantiti dan kaya dengan hasil bumi.
Penyatuan antara dua negara ini dapat mewujudkan Nusantara jaya dan pasti akan
menjadikan kita terunggul di dunia.
Bangunlah wahai pemimpin muda
nusantara, ayuh kita berubah membentuk Nusantara jaya kerana kita mampu
mengubah mimpi menjadi realiti. Kuncinya hanya persaudaraan dan perpaduan yang
membawa sejuta kebaikan menolak segala keburukan.
MOHD
FARIZ RAZALI
Mahasiswa
UiTM Shah Alam
Wakil
Mahasiswa Malaysia “Nusantara Leadership Camp”
0 ulasan: