Semangat Nusantara wajar diperkasa.

11:50 PTG 0 Comments




Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sekretariat Transformasi Serantau, Malaysia dibawah Jabatan Perdana Menteri yang telah membuka peluang kepada saya bersama 19 mahasiswa lain yang dipilih dari seluruh Malaysia untuk menghadiri Nusantara Leadership Camp 2013 anjuran kerjasama bersama Universitas Indonesia Jakarta, Indonesia bermula 4 Setember sehingga 8 September 2013.
 
Selaku salah seorang wakil peserta saya berasa sangat berbesar hati kerana telah berjaya dipilih hasil temuduga dan pemilihan yang ketat untuk menjadi antara 20 mahasiswa terbaik dari Malaysia bagi bersaing dengan 100 mahasiswa terbaik dari seluruh Indonesia yang menwakili setiap provisi atau daerah di sana. 


Disaat suasana tegang antara Malaysia dan Indonesia, peluang sebegini sebenarnya telah berjaya menjadi medium yang effektif bagi mewujudkan lagi tali silaturrahim yang baik antara dua negara. Menurut Encik Pipin Sopian, penasihat Nusantara Leadership Camp, 

“Perkara yang boleh menyatukan anak-anak kecil di Nusantara ialah Upin Ipin, manakala golongan yang tua lebih tertumpu kepada nostalgia persaudaraan antara dua buah negara. Tetapi yang merisaukan sekarang ialah golongan muda Nusantara dimana mereka hidup saling mencuriga kerana tiada hubungan dan pengalaman yang bisa dikongsikan bersama. Justeru itu, Kem ini lebih menfokuskan untuk mencapai misi agar golongan muda antara dua buah negara bisa bersatu dan menjamin kekuatan perpaduan Nusantara di masa hadapan.”

Kita mungkin terpisah oleh batasan Negara tetapi sedar tidak sedar Malaysia dan Indonesia masih bersaudara. Dimana kita hanya mempunyai sedikit perbezaan tetapi sejuta persamaan yang boleh membawa kepada kekuatan serantau. Menurut Professor Wan Mohd Nor Wan Daud, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam dan Peradaban (CASIS) ketika forum “Refleksi Sejarah dan Kepimpinan Nusantara” menyatakan, 

“Nusantara sepatutnya lebih mudah untuk bersatu kerana kita berkongsi Agama yang sama, Bahasa yang sama dan juga Budaya yang sama. Malangnya kita lebih banyak mencari perbezaan berbanding bangsa Eropah yang masih kekal bersatu walaupun mempunyai sedikit persamaan jika dibandingkan dengan kita.”

Sesungguhnya pengalaman saya bersama rakan-rakan sepejuangan dari Malaysia selama 5 hari ini sungguh tidak ternilai kerana kami mendapati begitu banyak pendedahan persamaan antara kita yang boleh membuatkan Nusantara berdiri lebih utuh berbanding penyatuan yang lain. Selain daripada itu juga pendedahan tentang keadaan Indonesia juga mengajar kami sedikit sebanyak tentang keadaan semasa di negara kita.


Semangat Nasionalisme yang tinggi.
Perkara pertama yang saya pasti Malaysia jauh ketinggalan berbanding Indonesia ialah dimana semangat Nasionalisme kita? Walaupun Indonesia dipenuhi dengan pelbagai bangsa dan agama tetapi semangat kenegaraan dan kemerdekaan mereka sangat tinggi. Petanda positif ini dapat dilihat dengan jelas ketika mereka bersungguh-sungguh menyanyikan lagu kebangsaan mereka “Indonesia Raya”. Berbanding negara kita yang masih mempertikaikan tentang kehormatan lagu “Negaraku”. 

Semangat toleransi mereka juga terlihat apabila mereka juga menghormati lagu “Negaraku” dan tidak berasa kekok untuk bersama-sama mempelajarinya. Walaupun berbeza negara tetapi mereka tetap menghormati Malaysia. Sudah pasti ini mampu menjadi nilai tambah kepada perpaduan kita bersama terutamanya generasi muda. 
 
Rasuah atau Korupsi
Antara perkara paling hangat yang diketengahkan sepanjang kelangsungan kem ini ialah isu rasuah ataupun korupsi. Menurut Dr Arif Munandar, Penceramah bagi slot Pemimpin Muda Nusantara Leadership Camp menyatakan 

“Masalah korupsi ini tidak akan pernah terpulih kerana tauladan yang dibawa oleh generasi tua telah diikuti oleh pemimpin muda. Seharusnya pemimpin muda perlu berani untuk berubah dan lebih mengetengahkan kejujuran dalam kepimpinan berbanding mengunakan kuasa dan pangkat untuk kepentingan diri lalu mengetepikan kebajikan masyarakat.

Malangnya, semangat pemimpin muda yang dahulunya semasa dibangku universiti sanggup berdemo dan melaungkan kebajikan rakyat tanpa korupsi tersungkur apabila mereka telah berjaya memegang tampuk pemerintahan. Seharusnya pemimpin muda sedar yang cabaran sebenar ialah setelah keluar daripada universiti dimana peluang untuk melakukan korupsi lebih terbuka luas sehingga menghayutkan kita kearah korupsi yang merugikan negara.”

Jadi kunci untuk menyelesaikan masalah korupsi ini bukannya dengan menyalahkan pemimpin yang sedia ada tetapi lebih kepada pedoman diri untuk menjadi pemimpin yang jujur dan bervisi tanpa korupsi dimasa hadapan. Perkara ini mungkin tidak terlihat kini oleh pemimpin muda kerana selaku mahasiswa kita masih belum merasai cabaran yang sebenar di dalam dunia politik. Jadi mudahlah bagi kita untuk mempertikaikan dengan kata-kata.
 
Semangat Menuntut Ilmu 
Semangat untuk menuntut ilmu dalam kalangan mahasiswa Indonesia juga dilihat sangat tinggi sehingga mengerunkan kami mahasiswa di Malaysia. Mungkin kerana keadaan negara mereka yang serba kekurangan menyebabkan mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mencari peluang bagi meraihkan sekelumit ilmu. 

Ini terbukti apabila tiba sahaja sessi soal jawab mereka pasti akan berebut-rebut mengangkat tangga untuk bertanyakan soalan kepada penceramah. Berbeza sekali keadaan ini dengan Mahasiswa di Malaysia dimana kita berasa terlalu selesa sehingga segalanya perlu disuap dan malu untuk bertanya bagi menambahkan ilmu di dada. 



Peluang untuk menuntut Ilmu
Saya sempat berkongsi cerita dengan seorang teman dari Kalimantan Indonesia dimana dia dalam usaha untuk mendapatkan biasiswa bagi menyambung pelajarannya di universiti. Melalui perkongsian itu dia sempat bertanyakan kepada saya jika ada mana-mana peluang dari Malaysia untuk dia menyambung pelajaran kerana tanpa biasiswa dia mungkin tidak mampu menyambungkan pelajaran dan terpaksa bekerja sebagai petani dahulu bagi menampung kos pembelajarannya.

Sedih jika dikenangkan keadaannya kerana walaupun dia merupakan antara mahasiswa terbaik di Kalimantan tetapi peluangnya untuk terus berjaya mungkin akan ditutup jika tiada bantuan kewangan diberikan. Saya sempat menceritakan mengenai sistem pembelajaran Malaysia yang menawarkan pinjaman PTPTN. Dia sungguh tertarik dengan sistem berkenaan dan mula menanyakan bagaimana caranya peminjam ingin memulangkan semula duit pinjaman?

Saya mula tidak keruan dan menyatakan itulah masalah yang sedang dihadapi oleh Malaysia sekarang. Dia tanpa berselindung mula kecewa dan menyatakan jika dia memiliki peluang berkenaan pasti dia tidak akan mensia-siakan kerana pinjaman untuk menyambung pembelajaran pun sudah memadai baginya bagi membantu keluarganya dimasa hadapan. 

Mungkin bagi mereka yang tidak merasai kemudahan ini lebih mengerti betapa berharganya sistem PTPTN dalam menjamin kelangsungan kewangan pendidikan negara kepada kalangan mahasiswa yang tidak berkemampuan.


Tali silaturrahim yang tidak ternilai
Bak kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus. Itulah ibaratnya tali persaudaraan Nusantara antara Malaysia dan Indonesia. Kalau diikutkan sejarah, Nusantara merupakan satu serantau bangsa Melayu yang kuat dimana menjadi tumpuan dunia dalam perdagangan dan sumber alam yang tidak ternilai. Walaupun kita terpisah oleh batasan negara tetapi ia tidak bermakna persaudaraan antara kita perlu terhapus atau terputus begitu sahaja.

Pada awalnya ada segelintir mahasiswa Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kehadiran kami dari Malaysia dek kerana terpengaruh dengan arus media yang memburuk-burukkan Malaysia di sana. Namun begitu, tak kenal maka tidak cinta. Setelah tali silaturrahim dipupuk hasil perkongsian pengalaman yang tidak terhingga ini. Segala Isu antara negara yang memupuk kebencian terhapus begitu sahaja. Daripada Isu Orang gaji didera, tarian Pendet sehinggalah ke kes Monahara semuanya telah dibincang dengan toleransi dan mencapai kata sepakat yang segala permasalahan itu hanyalah picisan jika dibandingkan dengan kebaikan yang mampu diperoleh melalui penyatuan bersama.

Mahasiswa Malaysia dan Indonesia semasa kem ini berjaya bersatu dan membentuk satu semangat Nusantara yang unggul. Jika semangat ini diteruskan nescaya Nusantara mampu mengegarkan dunia sebagai bangsa yang terunggul dan disegani.

Lebih Prihatin
Pernahkah anda bayangkan jika kita duduk disebuah rumah yang mewah dan selesa, lengkap dengan segalanya. Tetapi jiran yang juga saudara kepada kita, duduk dalam keadaan daif dan sangat memerlukan bantuan untuk kelangsungan kehidupan. Adakah kita hanya mampu melihat tanpa menghulurkan sebarang bantuan?

Itulah salah satu objektif utama kem ini diwujudkan, iaitu untuk menguatkan persaudaraan antara kita dan lebih mengetengahkan keprihatinan untuk membantu antara satu sama yang lain melalui projek sosial yang diterapkan. Kami diminta menyediakan proposal projek sosial yang mampu membantu masyarakat yang memerlukan tidak kira dari mana kita berasal.

Projek sosial ini sudah pasti membuka peluang yang lebih besar kepada belia di Malaysia untuk menjadi lebih prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita dari Indonesia. Sekaligus, ini membantu masyarakat mereka untuk membangun bersama-sama agar Nusantara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan serantau yang lain. Sesungguhnya amalan mulia ini bukan hanya menguntungkan kita malah menguntungkan Nusantara secara kolektif. Bak kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh. 

 

Konkulsi
Tuntasnya, Malaysia dan Indonesia telah ditakdirkan untuk saling bergantungan. Secara kasarnya kita dapat melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kualiti dan teknologi manakala Indonesia memiliki kuantiti dan kaya dengan hasil bumi. Penyatuan antara dua negara ini dapat mewujudkan Nusantara jaya dan pasti akan menjadikan kita terunggul di dunia.

Bangunlah wahai pemimpin muda nusantara, ayuh kita berubah membentuk Nusantara jaya kerana kita mampu mengubah mimpi menjadi realiti. Kuncinya hanya persaudaraan dan perpaduan yang membawa sejuta kebaikan menolak segala keburukan.

MOHD FARIZ RAZALI
Mahasiswa UiTM Shah Alam
Wakil Mahasiswa Malaysia “Nusantara Leadership Camp” 

Some say he’s half man half fish, others say he’s more of a seventy/thirty split. Either way he’s a fishy bastard.

0 ulasan: